Sunday, October 14, 2018

Jenis perayaan utama di malaysia

Hari Natal


Hari Natal (Krismas) merupakan perayaan menyambut kelahiran Jesus Christ di Bethlehem yang disambut oleh semua pengikut ugama Nasarani di dunia. Bagaimanapun, kajian menunjukkan Hari Natal bukanlah tarikh sebenar kelahiran Jesus Christ.

Perayaan hari Natal bermula dengan menghiasi pokok Krismas di rumah dan di gereja. Ahli keluarga bertukar hadiah pada hari Natal dengan meletakkannya di bawah pokok krismas. Teater Krismas, parti nyanyian keugamaan (Carol) akan diadakan.
Derma akan diberikan kepada golongan yang tua dan miskin. Secara tradisi, hadiah akan diberikan oleh Santa Claus kepada mereka yang memerlukan. Pada masa sekarang, perayaan hari Natal bersifat lebih komersial di mana gedung-gedung jualan akan berhias dan membuat persediaan jualan hari Natal semenjak awal Disember lagi.

                                  Raya cina
                                           


Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.

Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalender mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.

Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul untuk mengeratkan perhubungan sesama keluarga. Pemberian ‘angpau’ juga dilakukan oleh mereka yang sudah berumahtangga. Perayaan Chap Goh Mei diadakan sebagai penutup perayaan Tahun Baru Cina.

                               Maulidur rasul

                                         

Perkataan 'maulid' berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud hari lahir seseorang. Apabila disebut 'Maulidur Rasul', umum memahami ungkapan ini bermaksud hari keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan di Tanah Suci Makkah pada 20 April tahun Masihi 571 bersamaan 12 Rabiulawal Tahun Gajah.

Oleh yang demikian, hari maulid ini dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Negara kita turut memuliakan dan merayakan hari maulid. Hari maulid ini menjadi hari cuti umum di negara kita kerana agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini.

Maulidur Rasul disambut dan dirayakan dengan berbagai-bagai cara di negara kita. Setiap kerajaan negeri akan mengadakan sambutannya secara besar-besaran.

Lazimnya, mengadakan syarahan memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, orang ramai berselawat, perarakan, dan lain-lain. Di kalangan masyarakat pula, mereka mengadakan majlis berselawat dan jamuan. Sambutan ini diadakan di rumah dan masjid. Di sesetengah tempat pula, mereka mengadakan majlis membaca riwayat maulid, iaitu sebuah kitab yang ditulis khas tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W.


                    Raya aidilfitri(Raya Puasa)

                                       

Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun surau.

Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.

Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.

Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras, iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.

Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari raya ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau isteri dan dari yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan silaturrahim.

Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak yang masih muda.

Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.

No comments:

Post a Comment

Long Rowing

Assalamualaikum. Long Rowing This is a story of how I lead a kayaking race expedition to Bunga Mas 6. Our expedition were joined by ...