Ernesto Guevara (14 Jun 1928 - 9 Oktober 1967), biasanya
dikenali sebagai Che Guevara atau el Che, ialah doktor Argentina, serta juga
ahli politik, penyokong Marxisme, ketua pergerakan, dan gerila sosialisme di
Cuba serta juga di negara-negara lain, termasuklah Congo. Sebagai seorang
pemuda yang sedang belajar perubatan, pengembaraan Guevara ke seluruh Amerika
Latin menolong beliau memahami secara langsung kemiskinan yang melanda
kebanyakan rakyat. Menerusi pengalaman ini, beliau menjadi semakin yakin bahawa
hanya pemberontakan dapat menjadi penawar kepada ketidakseimbangan ekonomi di
kawasan-kawasan yang berkenaan dan oleh itu, membawa beliau untuk mempelajari
Marxisme dan terlibat dalam revolusi sosial Guatemala di bawah Presiden Jacobo
Arbenz Guzmán.
Tidak lama kemudian, Guevara menjadi ahli separa tentera
Fidel Castro yang merampas kuasa di Cuba pada tahun 1959. Selepas memegang
pelbagai jawatan kementerian yang penting dalam kerajaan baru, termasuklah
sebagai ketua penjara politik Castro, dan selepas menulis beberapa rencana dan
buku mengenai teori dan amalan perang gerila, Guevara meninggalkan Cuba pada
tahun 1965. Beliau berhasrat membangkitkan revolusi di Congo-Kinshasa (kemudian
dinamai Republik Demokratik Congo) dan kemudian di Bolivia. Di Bolivia, beliau
ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat (CIA)
[1]. Guevara dihukum mati terus oleh Tentera Bolivia di La Higuera berhampiran
Vallegrande pada 9 Oktober 1967 ketika berumur 39 tahun.
Selepas kematiannya, Guevara menjadi ikon pergerakan
pemberontakan sosialis di seluruh dunia. Gambarnya oleh Alberto Korda (di atas)
telah disebar luas. Kolej Seni Institut Maryland menggelar gambar ini sebagai
"gambar foto termasyhur di dunia dan simbol abad ke-20".
No comments:
Post a Comment