Sunday, July 15, 2018

EKSPEDISI MENGGAPAI BUKIT BROGA!

EKSPEDISI MENDAKI BUKIT BROGA!
Penulis: Shahriyar Bin Shahrir
source: google image

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia!

Syukur saya ucapkan ke-Hadrat Illahi kerana telah memberi saya peluang untuk mengarang sebuah coretan tentang bagaimana saya dan abang saya berjaya menjejakkan kaki ke puncak bukit Broga untuk menikmati pemandangan matahari terbit yang sungguh indah!

Ceritanya bermula begini,

Pada tanggal 17 Jun 2018, timbulnya idea untuk mendaki bukit Broga ini datangnya daripada abang saya sendiri, Shahreza. Hal ini kerana, saya dan abang saya sebelum ini belum pernah berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki ke atas mana-mana puncak pun sepanjang hidup kami. Ini seterusnya memberikan saya idea untuk menjadikan bukit Broga sebagai bukit pertama yang saya dan abang saya akan menakluki puncak bukit Broga untuk menikmati pemandangan matahari terbit buat julung kalinya dalam hidup kami. Pada malamnya, kami berdua menyediakan persiapan yang lengkap dari kepala hingga ke kaki dan peralatan tambahan seperti 'torch light', air mineral dan 'energy bar' bagi memudahkan ekspedisi pendakian kami. Saya berasa teruja malam sehingga tidak dapat tidur lena kerana berasa terlalu gembira!

Pada keesokkan paginya,

Kami bangun pada pukul jam 0500 untuk menyiapkan diri kami. Selepas menunaikan solat Subuh berjemaah, kami melakukan persiapan terakhir dengan memeriksa segala peralatan yang disediakan semalam. Setelah kami berpuas hati, kami bersalaman dengan kedua ibu-bapa kami untuk meminta kebenaran dan keberkatan kami untuk menakluki puncak bukit Broga. Kami memulakan ekspedisi kami dengan saya memandu kereta Honda City kepunyaan abang saya. Perjalanan mengambil masa selama setengah jam dari bandar Kajang ke dasar bukit Broga. Sewaktu perjalanan, abang saya bertanyakan soalan kepada saya, "Shahriyar okay ke abang ajak panjat bukit ni?" Sejurus selepas itu saya memberikan jawapan yang tulus dari hati saya, "Adik okay je dapat merasa panjat bukit Broga tu, lagipun first time kan? Apa salahnya try." Kemudian kami memasang telinga kepada radio yang menyajikan santapan lagu yang memberikan ketenangan kepada hati kami.

Sesampainya kami di tapak parkir bukit Broga, kami begitu terkesima dengan kawasan persekitaran parkir bukit Broga. Sememangnya pihak berkuasa telah melakukan tugas yang bagus dalam mengekalkan kebersihan. Saya mengambil kesempatan untuk mengisi perut dengan roti sosej yang dibeli sebelum kami sampai ke sini. Kemudian kami memulakan perjalanan kami mendaki bukit Broga. Halangan pertama kami adalah melalui kawasan hutan yang berbukit bukau. Kami menjaga segala adab sewaktu di sana untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Setelah kami berjaya melepasi kawasan hutan yang sesak itu, bermulalah cabaran yang berat, iaitu mendaki batu-batuan yang tinggi belaka. Mujurlah ada laluan yang telah disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengelakkan kecederaan dan memudahkan perjalanan kami. Kemudian, perut saya tidak berasa sedap, "Abang, perut adik rasa tak sedaplah." Kemudian abang saya menghulurkan air mineral kepada saya untuk meredakan ketidakselesaan yang dihadapi oleh saya. Tanpa semenanya saya telah memuntahkan roti sosej yang saya telah makan beberapa minit yang lalu. "Itulah, abang suruh makan awal-awal taknak." Saya terlupa yang saya seharusnya makan 1 jam sebelum makan tapi disebabkan tergesa-gesa menyebabkan saya terpaksa makan pada 'last minute'. Semangat saya kian pudar disebabkan keadaan badan yang menjadi sedikit lesu tetapi abang saya tetap memberikan semangat kepada saya dengan menjanjikan ganjaran pemandangan matahari terbit yang terbaik di dalam hidup saya. Saya seterusnya mengumpulkan semangat yang sedia ada dan kembali meneruskan perjalanan yang tertunda sebentar tadi.

Daki punya daki, sampainya kami di puncak pertama. Saya berasa sungguh gembira kerana saya ingat yang saya sudah sampai di puncak. Akan tetapi, saya baru 1/7 daripada perjalanan saya. Saya berasa terkejut dan teruja pada masa yang sama. Ini telah memberikan saya semangat untuk menghabiskan segala cabaran yang dihadapi dengan semangat yang kental. Puncak demi puncak kami berjaya takluki dan kami berjaya bersembang dengan para pendaki yang mempunyai matlamat yang sama dengan kami iaitu menakluki puncak bukit Broga untuk menikmati pemandangan matahari terbit yang indah. Sememangnya semuanya memaparkan personaliti yang disenangi iaitu peramah dan sopan santun. Saya berasa gembira kerana dapat duduk di sebuah negara yang berbilang kaum. Hidup 1 Malaysia!

Sesampainya kami di puncak ke-enam, kami mengambil masa untuk berehat seketika dengan menikmati 'energy bar' yang kami telah bawa di dalam beg kami dan air mineral. Badan kami berpeluh dengan meriahnya kerana kami telah berkerah tenaga sepenuhnya dalam mencapai matlamat kami. Kami bersembang dengan pelancong asing tentang ekspedisi ini. Mereka mengatakan bahawa bukit ini sungguh bersih dari segi pemandangan dan udaranya. Kami kembang seketika 😆.

Sebelum kami sampai ke puncak terakhir, terdapat sebuah batu yang sungguh besar sehingga memerlukan dua atau tiga orang untuk memanjatnya. Kami tunggu pendaki yang lain untuk membantu kami memanjatnya. Kemudian, datang dua wanita pelancong asing yang berpakaian cantik sehingga terliur kami melihatnya. Kami bersepakat untuk saling membantu sesama kami untuk memanjat batu itu. Bermula dengan kami membantu abang saya memanjat batu itu, sejurusnya saya dipangkul untuk memanjat. Kemudian, kami berdua menggunakan tenaga kami sepenuhnya untuk membantu mereka memanjat. Mereka memuji kami kerana mempunyai tenaga yang kuat dan peramah. Kami malu seketika.

Akhirnya, kami berjaya menakluki bukit yang didambakan oleh kami. Segala penat lelah kami telah dibayar dengan kepuasan hati yang membuak-buak untuk melihatnya terbitnya matahari dari puncak bukit Broga. Kami disambut dengan tepukan yang gemuruh dan sorakan membina semangat oleh pendaki-pendaki yang telah tiba sebelum kami. Kami menyambutnya dengan mengucapkan terima kasih! Kami terpaksa tunggu 10 minit kerana kami telah tiba di puncak sebelum terbitnya matahari. Kami mengisi masa yang sedia ada dengan bersembang dengan pendaki-pendaki lain tentang pengalaman mendaki mereka. Mereka berasa terkejut kerana kami berdua baru pertama kali mendaki tetapi berjaya menakluki puncak bukit Broga tanpa sebarang luka. Kami hanya tertawa kecil sambil membangga diri sedikit.

Tibalah waktu yang ditunggu-tunggu. Matahari terbit dengan begitu gahnya di sebalik pokok-pokok yang mendaki tinggi. Dalam masa yang sama, kami menikmati pemandangan yang indah yang diberikan oleh Illahi kepada hambanya untuk dilihat tentang betapa indahnya alam yang dicipta-Nya.

Haa, inilah gambar yang berjaya kami tangkap sebagai bukti kami berjaya menakluki puncak bukit Broga yang berketinggian 400 meter. Enjoy!




Sekian sahaja coretan daripada saya, Terima Kasih!

P/S: Follow Saya Untuk Mendapatkan Coretan Hidup Saya Yang Menarik!



No comments:

Post a Comment

Long Rowing

Assalamualaikum. Long Rowing This is a story of how I lead a kayaking race expedition to Bunga Mas 6. Our expedition were joined by ...